Khamis, 24 Mac 2011

Kebajikan Penjawat Awam Dijaga

Utusan Malalaysia
23/3/2011
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lagi beberapa khabar gembira untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.
Ia dimaklumkan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Kerajaan Bertanggungjawab: Menunai Janji, Melangkau Jangkaan” di hadapan 5,747 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini.
Turut mendengar pengumuman tersebut ialah masing-masing 300 dan 270 penjawat awam yang menghadiri sidang video dengan Perdana Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Sarawak dan Auditorium Intan di Sabah.
Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.
Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
n Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.
n Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.
n Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.
n Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.
n Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
n Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.
n Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

Rabu, 23 Mac 2011

Ganjaran Penuh

Berita Harian Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim 23/03/2011

Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi."Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali."Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan

Selasa, 22 Mac 2011

Pesara KWSP Dapat Perubatan Percuma

PUTRAJAYA 22 Mac - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12, di sini, hari ini.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa,” katanya.

Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri, kata Najib. - Bernama

Gaji Kumpulan Sokongan IPTA Tidak Sesuai - CUEPACS

SHAH ALAM, 19 Mac (Bernama) -- Hampir 40 peratus daripada 55,000 kakitangan kumpulan sokongan di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara masih mendapat gaji asas yang tidak sesuai dengan kos sara hidup semasa, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.


Beliau berkata di bawah Skim Saraan Universiti (SSU), gaji permulaan kakitangan kumpulan sokongan I ialah RM850 sebulan dan RM647 sebulan bagi kumpulan sokongan II.

"Oleh itu Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (GAKUM) sedang menyiapkan memorandum untuk meminta satu gaji minimum baru ditetapkan untuk kumpulan sokongan ini.

"GAKUM akan mengadakan mesyuaratnya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 17 dan 18 April ini bagi menyiapkan memorandum berkenaan sebelum diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Omar berkata setakat ini 85 peratus daripada memorandum itu telah disiapkan semasa perjumpaan jawatankuasa khas membuat penambahbaikan SSU yang membabitkan semua wakil Gakum seluruh negara, di sini.

Beliau berkata GAKUM memohon sekurang-kurangnya gaji asas minimum kumpulan sokongan 1 dan 11 IPTA ialah pada paras RM1,100 sebulan.

-- BERNAMA

20.03.2011

Selasa, 1 Mac 2011

15,000 PEMBANTU AM PEJABAT NAIK PANGKAT

Utusan Malaysia

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my



IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 pembantu am pejabat akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji sekiranya permohonan kenaikan itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji dan menyelaraskan semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan itu ketika ini.

Menurutnya, pelarasan itu perlu kerana penjawat jawatan itu sebelum ini hanya berkelulusan rendah seperti di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding kini apabila turut disertai lulusan diploma dan ijazah.

“Memorandum telah dihantar kepada JPA enam bulan lalu dan kita sedang menunggu kelulusan permohonan tersebut. Saya menjangkakan keputusannya akan diketahui tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan penerangan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Asri Saad dan Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.

Omar berkata, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dilihat akan meningkatkan lagi semangat penjawat jawatan itu untuk bekerja keras.

“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat.

“Justeru itu, apabila adanya keselarasan, ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar nama KPAP kepada nama yang lebih bersesuaian agar selaras dengan tanggungjawab mewakili persatuan itu.

Katanya, kini tugas pembantu am pejabat tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat sahaja malah meliputi pelbagai cabang tugasan.

“Dulu memang tugas mereka hanya tertumpu di pejabat tapi kini ada antara mereka bertugas di luar seperti di makmal dan sebagainya.

“Justeru itu kita akan berbincang dengan JPA untuk mencari nama yang lebih sesuai untuk persatuan ini,” katanya.

~ Sumber dari CUEPACS.