Khamis, 29 September 2011

CUEPACS YAKIN 80 PERATUS TUNTUTAN DIPERTIMBANGKAN DALAM BAJET 2012

Bernama
27/9/2011



GEORGE TOWN, 27 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin 80 peratus daripada empat tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan mendapat pertimbangan dalam pembentangan bajet 2012 pada 7 Okt ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas dan mengharapkan berita baik bakal diumumkan bagi menjaga kepentingan penjawat awam di negara ini.

"Ini adalah keputusan kongres berdasarkan kepada permintaan dari penjawat awam, saya harap ia dapat dipertimbangkan malah Skim Saraan Malaysia (SSM), dapat digubal semula untuk menjadi lebih baik dari segi penambahan gred, struktur gaji dan peningkatan peluang kerjaya bagi mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama CUEPACS Pulau Pinang di sini, Selasa.

Tuntutan tersebut adalah semakan semula SSM, menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Omar berkata Cuepacs juga yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri dan kemampuan kerajaan dapat memenuhi tuntutan itu yang sememangnya diharap-harapkan oleh lebih 1.2 juta penjawat awam.

"Kesemua tuntutan itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan dan tidak mustahil untuk ditunaikan kerana ada tuntutan yang tidak membabitkan kewangan," katanya.

Berkenaan tuntutan pemberian bonus dua bulan, katanya jika kerajaan berbuat demikan, ia akan mencipta sejarah baru dalam memenuhi permintaan penjawat awam.

"Diharap (bonus) dapat dipertimbangkan, kalau tidak dapat bonus dua bulan, sekurang-kurangnya (kerajaan) dapat memberi bonus sebulan atau sebulan setengah pun sudah dikira mencukupi," katanya.



-- BERNAMA

Sumber :- http://cuepacs.blogspot.com/

Ahad, 25 September 2011

KAKITANGAN AWAM DIRAMAL NAIK GAJI LAGI

Berita Harian

2011/09/24



Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.

BAJET 2012: NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM

Malaysia Insider
Oleh Jahabar Sadiq
Editor
September 22, 2011



KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.

Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.

Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.

Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.

Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.

Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.

“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hodup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

Sumber - Cuepacs ..