Ahad, 23 September 2012

Mesyuarat AJK KKPPPPMB Cawangan Pahang Kali 1/2012 (AJK Baru dilantik)


Mesyuarat AJK KKPPPPMB Cawangan Pahang Kali 1/2012..
diadakan di SK Chat , Benta. seramai 10 orang yang hadir . seorang tidak dapat hadir kerana ada sebab-sebab tertentu.
Alhamdulillah .. telah mengambil kata sepakat dan persetujuan di atas beberapa perkara ... berkaitan kesatuan cawangan pahang.

Khamis, 20 September 2012

BELANJAWAN : PENJAWAT AWAM SEDIA KERJA LEBIH WAKTU JIKA TUNTUTAN DIPENUHI


Bernama
20/9/2012

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 1.4 juta penjawat awam sedia bekerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangannya dilulus kerajaan dalam Belanjawan 2013.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam akan bekerja lebih masa selama 30 minit tanpa ganjaran jika tuntutan mereka termasuk penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diterima kerajaan.

"Cuepacs akan pastikan penjawat awam akan melakukan satu perubahan drastik dari segi budaya bekerja, kalau boleh kita datang 15 minit awal dan balik lewat 15 minit yang merupakan komitmen daripada penjawat awam bagi menghargai jasa kerajaan meluluskan tuntutan tersebut," katanya kepada pemberita Rabu.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs ke-9 di sini, berkata penjawat awam masih menunggu perubahan dan penambahbaikan ke atas SSM setelah diumumkan pada 8 Mac lepas, susulan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.

Tuntutan lain ialah penyelesaian isu tangga gaji maksimum yang tidak selaras dengan kenaikan gaji tahunan; projek perumahan di bawah harga RM135,000 dalam kawasan bandar; menaikkan imbuhan tetap perumahan; kedudukan status 45,000 penjawat awam berstatus kontrak; bonus dua bulan gaji dan mengkaji semula pemansuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di peringkat pusat.

-- BERNAMA

Selasa, 11 September 2012

CUEPACS HARAP KERAJAAN BERI BONUS TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM

10/9/2012
KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

-- BERNAMA