Khamis, 28 Februari 2013

KSN: KAJIAN GAJI PENJAWAT AWAM TELAH CAPAI HAD MAKSIMUM SUDAH DIKEMUKA KEPADA KERAJAAN

SANDAKAN, 28 Feb (Bernama) -- Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa Khamis.
Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran hari ini.

Temu bual secara rakaman melalui telefon disiarkan pada 9.50 pagi bertajuk Perkhidmatan Awam Teras Kecemerlangan Sesebuah Negara.

Ketua Setiausaha Negara berkata masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum.

Menurutnya perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja Perdana Menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.



-- BERNAMA

Khamis, 14 Februari 2013

CUEPACS Kemuka Cadangan Kenaikan Elaun Penjawat Awam

Kuala Lumpur: CUEPACS dijangka mengemukakan beberapa cadangan berhubung kenaikan elaun penjawat awam dalam pertemuan kesatuan sekerja itu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa di Putrajaya, hari ini.
Antaranya mengenai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Sara Hidup (COLA), tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebagai contoh CUEPACS mencadangkan supaya COLA diselaraskan kepada RM300, manakala ITP pula ditingkatkan daripada RM180 kepada RM450 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Omar berkata, mengenai tuntutan penginapan pula, pihaknya berharap ia akan ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM120 ketika ini, kerana kebanyakan hotel sudah menaikkan harga.
“Jumaat lalu, beliau (Ali) mengumumkan lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji semula dan memandangkan kepemimpinan tertinggi CUEPACS mengadakan pertemuan bersamanya esok (hari ini), maka kita akan turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.
“Kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula perkara (elaun) itu, menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melupakan soal kebajikan penjawat awam,” katanya kepada BH, semalam.
Tujuan lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri.
Omar berkata, selain itu CUEPACS juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum serta kadar kenaikan (gaji) yang bakal diperoleh mereka.
“Sebelum ini dimaklumkan bahawa mereka mungkin menerima kenaikan antara dua hingga lima peratus, bagaimanapun ia hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).
“CUEPACS berharap kenaikan itu membabitkan semua kakitangan daripada kumpulan terbabit yang turut menyumbang kepada perkhidmatan awam. Kita juga akan berbincang mengenai peranan segelintir ketua jabatan yang kadang-kala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja,” katanya. 
 
~ Berita Harian
   13/2/2013

Selasa, 12 Februari 2013

Syor COLA seragam RM350

Kuala Lumpur: Keputusan mengkaji lebih 80 jenis elaun penjawat awam bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela adalah tanda prihatin kerajaan terhadap golongan itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata usaha itu pasti membawa kelegaan kepada 1.4 juta penjawat awam, khususnya mereka yang terbabit.
“NUTP mengharapkan keputusan kajian itu dapat diumumkan dalam kadar segera. Sebaiknya sebelum berlangsungnya PRU-13, 20 peratus daripada lebih 80 jenis elaun penjawat awam sudah dikaji dan ditambah baik untuk dimanfaatkan kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Beliau mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Datuk Dr Ali Hamsa, semalam mengenai lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji secara terperinci, termasuk elaun sara hidup dan gaji statik bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya.

Beliau, yang juga Naib Presiden (Pendidikan) CUEPACS berkata, antara 20 peratus daripada yang patut diberi keutamaan kajian, termasuk Elaun Sara Hidup (COLA) dan jadual gaji penjawat awam.

“COLA sepatutnya diseragamkan, sama ada kepada mereka yang bekerja di bandar atau luar bandar. Sekarang, ada yang mendapat RM300, RM250 dan RM150.
Ada yang mengatakan perbezaan itu perlu kerana kos hidup di bandar lebih tinggi, manakala di luar bandar lebih rendah.
“Kos sara hidup di luar bandar juga tinggi, tetapi membabitkan aspek lain. COLA sepatutnya diseragamkan kepada RM350 bagi semua penjawat awam,” katanya.

~ Berita Harian