Ahad, 21 April 2013

PENJAWAT AWAM DINASIHAT TIDAK TERLIBAT KEMPEN PRU-13

KUCHING 15 April - Penjawat awam dinasihat supaya tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti kempen yang dianjurkan mana-mana parti politik sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Ahmad Malie berkata, walaupun tiada peraturan atau larangan khusus yang menetapkan perkara tersebut, namun penjawat awam adalah golongan berkecuali.
Katanya, penjawat awam perlu memilih kepimpinan negara dengan bijak dan tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti berkempen pilihan raya seperti menggantung poster dan terlibat dalam penganjuran ceramah.
"Penjawat awam tidak dibenarkan melakukan atau terlibat dalam aktiviti itu di bawah peruntukan Perintah Am iaitu mereka boleh dikenakan tindakan disiplin.
"Bagaimanapun mereka disaran supaya keluar mengundi dan menggunakan peluang tersebut secara rasional bagi memastikan dasar membela kebajikan mereka dan agenda pembangunan negara berjalan lancar," katanya di sini semalam.
Ahmad yang juga Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) memberitahu, mereka perlu bijak memilih parti yang diyakini mampu menunaikan janji kepada penjawat awam bagi memperkasakan sektor awam hari ini dan memimpin negara di masa hadapan.
Di samping itu katanya, penjawat awam perlu menilai segala bantuan dan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan sekarang dan memperjudikan masa depan mereka.
 
~ Utusan Malaysia