Sabtu, 26 Oktober 2013

BAJET 2014 PERUNTUKAN RM264.2B


 Utusan Malaysia
26/10/13


 
Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2014 melibatkan peruntukan berjumlah RM264.2 bilion meliputi RM217.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Bajet 2014 itu menyaksikan peningkatan kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.Bertemakan Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji, Bajet 2014 merupakan bajet pertama selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Bajet 2014 yang menggariskan lima teras utama itu juga merupakan bajet kelima yang direncana Najib selaku Menteri Kewangan sejak 2009.Lima teras itu adalah merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta mensejahtera kehidupan rakyat.Melainkan pembentangan mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mendapat reaksi kurang senang daripada Ahli Parlimen pembangkang, keseluruhan pembentangan Bajet 2014 oleh Najib yang bermula kira-kira pukul 4.05 petang dan berakhir 6.25 petang berlangsung lancar.
Dalam mengurangkan rungutan pembayar cukai menerusi sistem sedia ada pula, Bajet 2014 mencadangkan pembayar cukai tidak lagi perlu mengemukakan borang cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai bulanan (PCB) yang dikenakan.Sementara itu, paling banyak mendapat manfaat pula adalah golongan muda yang disediakan beberapa insentif secara langsung antaranya pemberian 'one-off' sebanyak RM500 kepada individu berumur antara 20 hingga 30 tahun yang menyertai Skim Persaraan Swasta (PRS).
Dalam galakan kepada golongan itu terutama siswazah menganggur terlibat dalam perniagaan pula, Bajet 2014 turut menyediakan dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta menerusi Tabung Usahawan Siswazah di bawah SME Bank.Turut mendapat manfaat ialah golongan peniaga pasar malam yang disediakan dana sebanyak RM100 juta bagi menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan mentah dan kelengkapan perniagaan.Agenda bumiputera juga terus diperkasa antaranya menerusi penubuhan Dana Ekuiti Bumiputera (EquiBumi) dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah SME Bank.

CUEPACS SIFATKAN BAJET 2014 AMBIL KIRA KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM

 

Bernama
25/10/2013

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan Bajet 2014 mengambil kira kebajikan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata beliau berpuas hati secara keseluruhan inti pati bajet kali ini yang memberi banyak manfaat kepada penjawat awam bagi meningkatkan produktiviti dan integriti golongan itu, walaupun ada beberapa permintaan Cuepacs yang tidak ditunaikan.

"Bonus setengah bulan gaji masih dikira baik. Kita faham keadaan ekonomi sekarang dan kerajaan tidak boleh beri lebih daripada itu, apa-apa pun kita berasa syukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Omar mengulas pengumuman Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari Jumaat.

Beliau berkata sebelum ini Cuepacs pernah memohon kerajaan supaya memberikan bonus sekurang-kurangnya satu setengah bulan gaji atau dua bulan gaji termasuk menaikkan elaun perumahan penjawat awam.

Omar berkata antara inti pati yang dapat memberi manfaat kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

"Selain itu pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan menerima RM650.

"Melihat dari segi kesihatan pula pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir dapat membuat rawatan sendiri secara percuma di rumah dengan kit CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis)," katanya.

Omar juga berkata cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai bulanan (PCB) mereka, adalah perkara yang menarik perhatian ramai kerana ia akan memudahkan penjawat awam.

Beliau juga menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

Omar berkata dengan adanya jawatankuasa itu ia dapat meningkatkan integriti penjawat awam kerana sebelum ini ada pihak yang mempertikaikannya.

Dalam pembentangan bajet hari ini, Najib berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini, demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam.

Sementara itu, bagi jururawat sebuah hospital kerajaan Siti Shuhada Md Tajuddin, 33, berkata pengumuman bonus setengah bulan itu sudah memadai kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam.

"Apa jua keputusan yang dibentangkan dalam bajet ini saya terima sebab saya tahu kerajaan melakukan yang terbaik untuk penjawat awam," katanya.

Muhamad Abdul Kadir, 32, seorang tentera, berkata beliau berpuas hati dengan kandungan Bajet 2014.

Katanya cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan merupakan satu transformasi oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam.

-- BERNAMA