Isnin, 2 Mei 2016

KUMPULAN GRED RENDAH PERLU DIPERKASA DENGAN KEMAHIRAN TAMBAHAN - CUEPACS

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kerajaan digesa memperkasakan kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam dengan menyediakan kemahiran tambahan kepada golongan itu supaya gred gaji mereka dapat ditingkatkan. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata gaji minimum yang diterima kumpulan itu masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. "Kita ambil contoh kos sara hidup yang semakin mencabar dan keperluan rumah dengan gaji serendah RM1,200, ia pasti belum mencukupi. "Jadi kumpulan terendah yang memasuki perkhidmatan awam melalui kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus bergerak dengan kemahiran teknikal yang diiktiraf supaya gred gaji mereka naik lebih tinggi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perdana Perkhidmatan Awam Sempena Hari Pekerja 2016 anjuran kesatuan itu di sini, Sabtu. Seminar yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib itu turut dihadiri Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng. Hari Pekerja 2016 disambut esok. Azih berkata terdapat kira-kira 300,000 penjawat awam dalam kumpulan gred terendah di seluruh negara, antaranya yang terdiri daripada pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu. 
Pada Mac lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam termasuk gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan berkuat kuasa 1 Julai ini. 

~ Sumber Blog Rasmi CUEPACS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan